Jumaat, 27 Ogos 2010

Memahami makna Sunnah Rasulullah SAW,

Daku memulakan penulisan ini dengan menyebut nama Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang dan dengan doa serta pengharapan yang besar semuga Allah SWT akan menunjuki diri ini ke jalanNya yang benar lagi lurus serta memberikan kekuatan kepada diriku ini untuk menghabiskan penulisan ini, Amin.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama bersyukurlah ke hadrat Allah SWT lantaran dengan limpah kurnia Allah SWT,  dianugerahkan untuk kita kekuatan hingga kita masih mampu untuk membaca dan menulis, masih mampu menghela nafas kita ini dan anugerah yang sangat besar adalah kerana kita masih mampu untuk menggunakan akal kita bagi mencari kebenaran yang hakiki.
Siang tadi, ketika saya berkesempatan untuk melawati Soleh.net, saya terpandang kepada suatu komen dari saudara kita yang bertanya mengenai kefahaman saya tentang Sunnah Rasulullah SAW. Maka kemudian saya menjawab kepadanya dengan memberikan suatu hadis sahih yang diriwayatkan oleh Al Hakim yang antara lain mafhumnya:-
“Sudah ku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat sepeninggalan ku jika kamu berpegang kepada kedua-duanya iaitu Kitab Allah (Al Quran) dan Sunnah ku.”
Dan untuk memberikan kupasan yang lebih mendalam lagi, saya juga bawakan ayat Al Quran dari surah Al Ahzab ayat ke 21 yang antara lain mafhumnya:-
“Sesungguhnya pada Rasulullah itu mempunyai ikutan yang baik (uswah hasanah) bagi kamu iaitu orang yang mengharapkan Allah SWT, mengharapkan pembalasan baik di hari akhirat dan mereka itu banyak mengingati Allah SWT”

Dengan mafhum ayat Al Quran dan Hadis yang saya bawakan ini, saya berharap ianya akan dapat memberikan jawaban dengan sendirinya kepada persoalan yang ditanyakan itu. Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu mempunyai ikutan yang baik, bermakna bahawa setiap apa yang ada pada diri Rasulullah samada dari akhlaknya, sifatnya, pribadinya malahan cara kehidupan Rasulullah itu sendiri samada semenjak dari sebelum baginda menerima wahyu atau setelah baginda menerima wahyu (dilantik sebagai Rasul) adalah merupakan Sunnah Rasulullah. Jika kita mengikutinya, maka insyaAllah, kita akan memperoleh pahala di sisi Allah SWT.
Sesungguhnya sahabat dan saudaraku, kehidupan Rasulullah SAW itu sepenuhnya semenjak dari dilahirkan hinggalah baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir adalah dibawah bimbingan Allah SWT dan Allah SWT tidak membiarkan baginda walaupun sesaat. Kerana itulah ketika ditanya Aisyah mengenai akhlak dan kehidupan Rasulullah SAW maka Aisyah menjawab bahawa akhlak dan kehidupan Rasulullah SAW itu adalah Al Quran. Lebih senang diertikan bahawa Rasulullah itu adalah merupakan Al Quran yang hidup untuk diteladani.
Dari cara baginda menyusu ketika bayi, cara baginda mencari petunjuk Allah SWT, cara baginda beribadah, bermuamalah, berkahwin, malahan cara baginda tidur, bangun, makan, minum, sehinggalah cara baginda ke tandas adalah merupakan Sunnah Rasulullah SAW. Jika kita mengikutinya bererti kita memartabatkan Sunnah Rasulullah SAW.
Contohnya, ketika baginda masih bayi, ibu baginda telah kekeringan air susu untuk disusukan kepada baginda, hakikat sebenarnya, kekeringan air susu ibu baginda itu adalah merupakan ketentuan Allah SWT, supaya dengan itu Rasulullah dapat dicarikan ibu susuan bagi menggenapkan usia susuan untuk bayi iaitu selama 2 tahun sekurang-kurangnya. Maka untuk para isteri muslimah yang hendak mengikuti Sunnah Rasulullah SAW, mestilah memberikan susuan kepada bayi mereka paling kurang selama dua tahun, jika sebelum itu siibu telah kekeringan susu badannya, janganlah diberikan susu lembu kerana ibu Rasulullah tidak berbuat demikian tetapi hendaklah dicari ibu yang menyusu untuk menyusukan bayinya itu.
Begitulah juga dengan perkahwinan Rasulullah SAW, sesungguhnya ketika Rasulullah SAW berkahwin untuk kali yang pertama iaitu dengan Khadijah r.a, baginda hanya mempunyai isteri seorang itu sahaja sehinggalah kembalinya kerahmatullah Khadijah r.a. Jadi para suami yang berhajat untuk mengikuti Sunnah Rasulullah SAW, tidaklah boleh berkahwin lebih dari satu semasa isteri pertamanya masih ada hayat, apatah lagi untuk menceraikan isteri pertama semata-mata untuk berkahwin dengan perempuan yang lain.
Apapun wahai saudara dan sahabat-sahabatku, semuanya mestilah bermula dengan niat yang ada dalam diri kita. Contohnya jika kita memakai pakaian jubah kerana Rasulullah SAW memakai jubah, maka insyaAllah kita akan memperoleh pahala dari perbuatan kita itu tetapi jika kita memakai jubah itu untuk menunjuk-nunjuk dan riya’, tentulah hal sebaliknya pula yang akan kita dibalaskan.
Cuma jika saudara dan sahabat-sahabat bertanyakan pendapat saya mengenai kaedah mengikut amalan Rasulullah SAW dalam cara kehidupan sehariannya ini, saya lebih suka untuk memberikan sesuatu yang lebih sederhana, contohnya jika kita berpakaian walaupun pakaian itu bukanlah pakaian cara Rasulullah SAW, cukuplah terlintas dalam sanubari kita bahawa kita berpakaian itu untuk menutup aurat kita kerana Rasulullah SAW juga berpakaian untuk menutup auratnya, insyaAllah perbuatan kita yang sedemikian itu juga akan memperoleh pahala mengikuti sunnah selagi tidak ada riya’ dan sifat suka menunjuk-nunjuk.
Begitu juga jika Rasulullah SAW dahulu berkenderaan menunggang unta atau kaldai, maka jika terlintas dalam hati kita bahawa kita berkenderaan itu kerana Rasulullah SAW dahulu juga berkenderaan maka insyaAllah, kita akan memperoleh pahala mengikuti Sunnah Rasulullah walaupun kenderaan yang kita naiki itu adalah keldai yang telinganya sepanjang 10 hasta dan boleh melompat antara bukit ke bukit (kenderaan akhir zaman seperti yang digambarkan oleh Rasulullah SAW – kapal terbang).
Dalam permasalahan Sunnah Rasulullah SAW ini, sebenarnya saya lebih suka menekankan bukan kepada persoalan yang remeh seperti cara Rasulullah SAW berpakaian atau berkenderaan malahan juga samada solat cara begini atau cara begitu yang sepatutnya adalah cara Rasulullah SAW! kerana hal itu, bagi saya sebenarnya adalah merupakan hal-hal ringan dan sederhana. Permasalahan sebegini akan lebih membawa kemudharatan daripada kebaikannya sehingga ada antara kita yang sanggup kafir mengkafir kerananya pada hal cukuplah ketika kita menunaikan solat itu terlintas dalam sanubari kita, kita tunaikan solat itu adalah kerana Rasulullah SAW juga menunaikan solat. InsyaAllah selagi kita tidak meninggalkan rukun solat, tidak melanggari ketertibannya dan kita bersolat dengan ikhlas kerana Allah SWT  maka solat kita itu akan diterima oleh Allah SWT dan kita akan beroleh pahala kerana mengikuti sunnah Rasulullah SAW.
Hakikat yang sebenarnya wahai sahabat dan saudara-saudaraku, kita mempunyai Sunnah yang lebih besar yang perlu kita laksanakan.
Apakah Sunnah yang lebih besar itu? Iaitulah mengembalikan “Madrasah Rasulullah SAW” Penelitian perlu kita lakukan supaya dengan itu kita dapat melahirkan kembali Bilal bin Rabbah yang sanggup disiksa, dijemur ditengah teriknya panas gurun dengan batu-batu ditindis dibadannya, biarpun begitu besar siksaan itu, mulutnya masih menyebut “Ahad… Ahad”
Begitu juga dengan Sumaiyah dan isterinya yang dimuliakan sebagai syuhada yang pertama dari Madrasah Rasulullah SAW. Demikian juga dengan Hamzah dan para syuhada yang terkubur di medan Uhud yang setiap tahun akan diziarahi oleh baginda Rasulullah SAW.
Kenapa kita tinggalkan sunnah yang sedemikian agung ini? Yang dari sunnah ini lahir manusia yang hebat dan kental, yang dengannya Islam telah mampu sampai sehingga ke seluruh pelusuk dunia? Kearah memberikan kefahaman inilah saya berusaha untuk menulis dalam soleh.net ini semuga dengan rahmat Allah SWT dan dengan berkat doa dari sahabat dan saudara semua, saya akan terus diberikan kekuatan untuk menulis dan terus menulis dalam ruangan ini insyaAllah.
Sesungguhnya yang baik itu adalah dari Allah SWT dan yang sebaliknya itu adalah merupakan salah faham atau salah tafsir yang datang dari saya sendiri. Sama-samalah kita berdoa semuga Allah SWT menunjuki kita ke jalanNya yang benar lagi lurus.
Wallah hu aqlam.
Salam dari saya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan