Isnin, 31 Januari 2011

Si Gadis Bercerita Tentang Cinta

Seorang gadis tinggal di sebuah pekan kecil. Zaman kehidupannya bukanlah di saat Islam sedang memuncak naik menjadi Daulah Islamiyah. Tetapi dia yakin, Daulah Islamiyah itu kelak pasti akan tercapai. Dia gemar membaca sirah tentang tokoh-tokoh sahabiah yang agung nama mereka; dulu, kini dan selamanya.
Zaman kehidupannya penuh dengan jahiliyyah yang menguasai setiap ruang lingkup atmosfera. Alhamdulillah, katanya. Alhamdulillah katanya, kerana Allah SWT masih mahu menyinari hidup dan dirinya dengan sedikit cahaya Islam. Dengan cahaya itu dia menilai baik dan buruk. Sudah tentu, ianya bukanlah mudah.
Rabiatul Adawiyah sumber inspirasinya. Wanita suci yang mengabdikan diri sehari-hari untuk beribadat kepada Allah. Seorang gadis yang sangat menjadikan Rabiatul Adawiyah sebagai idolanya, kadang-kadang dia tersilap langkah juga. Bukan senang mahu menjadi seperti Rabiatul Adawiyah, tambahan pula dengan kehidupan dunia kini. Tak mengapalah wahai Si Gadis, menjadi seorang yang perfect seperti Rabiatul Adawiyah, kamu mungkin tak mampu, paling tidak, kamu berusaha bersungguh-sungguh mencontohi beliau. Seorang yang sangat menjaga maruah diri sehinggakan kehidupan dunia bukanlah yang diingini.
Gadis ini suka akan doa Rabiatul Adawiyah yang ini.
"Ya Allah, sekiranya aku menyembah-Mu kerana takut kepada neraka, bakarlah aku di dalam neraka. Sekiranya aku menyembah-Mu kerana mengharapkan syurga, campakkanlah aku dari syurga. Namun sekiranya aku menyembah-Mu semata-mata demi-Mu, janganlah Engkau enggan memperlihatkan keindahan wajah-Mu yang abadi kepadaku."
Dia hanyalah seorang gadis biasa. Suatu hari yang penuh berkat, muncul satu kunjungan untuk keluarga Si Gadis. Kunjungan luar biasa yang pastinya membincangkan isu masa depan Si Gadis dan Sang Teruna. Perbincangan yang pastinya menuju kepada sebuah pelayaran bahtera Baitul Muslim. Itu lah agendanya.
Dia terfikir, bagaimana mahu jadi seperti Rabiatul Adawiyah kalau begini keadaannya? Namun, menolak kepada sebuah perkahwinan bukanlah apa yang Si Gadis merasakan suatu yang betul.
Paling tidak, dia mahu menjadi seperti wanita yang menarik kuda Fatimah (anak Rasulullah SAW) untuk memasuki syurga. Wanita itulah yang pertama memasuki syurga! Sungguh hebat pengabdian wanita tersebut kepada keluarganya terutamanya kepada suami nya. Hebat-hebat kisah sahabiah yang ada! Si Gadis sungguh terinspirasi! Kerana sesungguhnya menjadi tujuan setiap manusia untuk menuju ke syurga-Nya yang abadi.
Kata-kata Zainab Al-Ghazali, "...Hidup ini terlalu singkat untuk menjadi orang biasa...". Perlu jadi yang luar biasa untuk mendapat tempat yang luar biasa di akhirat kelak!
Si Gadis pernah terbaca tentang satu hadis.
"Bila telah datang (untuk melamar) kepada kalian seorang lelaki yang kalian redhai agama dan perangainya (akhlaknya), maka nikahkanlah dia, bila kalian tidak melakukannya, nescaya akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang bermaharajalela." (Riwayat At Tirmizy, Sa'id bin Mansur, At Thabrani, Al Baihaqi dan dihasankan oleh Al Albani)"
Masakan perlu ditolak kerana kejayaan mendirikan sebuah Daulah Islamiyah juga berasaskan dengan tertubuhnya sebuah Baitul Muslim. Baitul Muslim tidak akan berjaya tanpa adanya 2 individu yang benar-benar ingin menerapkan Islam ke dalam diri mereka, sekaligus berusaha untuk mengembangbiakkan Islam dalam masyarakat. Menolak lamaran daripada insyaAllah, seorang yang soleh bukanlah apa yang Si Gadis mahukan.
Pertemuan 2 buah keluarga sedikit sebanyak telah melegakan Si Gadis. Kerana dia tidak mahu berkawan dengan lelaki yang sebarangan. Berkawan yang tidak tentu hala yang akhirnya tak tahu apa tujuannya.
Namun dia sedar pertemuan ini, kalaulah pun mendapat 'restu' untuk berkawan daripada ibu bapa kedua-dua belah pihak, bukanlah satu tiket untuk mereka berhubung tanpa ada tujuan yang membenarkan.
Perjalanan masih jauh. Pesan seorang pakcik, perlu sangat berhati-hati dan berdoa.
Tiada apa yang Si Gadis sepertinya dapat berharap, hanya agar Allah SWT memudahkan setiap cabang perjalanan hidupnya.
Apa-apa pun, saya suka mendengar Si Gadis bercerita. Katanya, dia bercerita untuk berkongsi agar ada bahagian daripada ceritanya boleh dijadikan teladan.

Nota Cinta


Allah....

Ingin sekali aku menulis nota cinta untuk-Mu,
Nota cinta yang sudah lama tidak kutuliskan untuk-Mu,
Bersama embun titisan air mata cinta pada-Mu.

Allah...

Ingin sekali aku mengarang nota cinta buat-Mu,
Nota cinta yang sudah lama tidak kukarang buat-Mu,
Bersama bunga perasaan rindu yang menggebu-gebu.

Allah...

Ingin sekali aku mengirim nota cinta pada-Mu,
Nota cinta yang sudah lama tidak dikirim pada-Mu,
Bersama wangian kesetiaan yang yakin dan padu.

Allah...

Jika ku tulis, ku karang lalu kirim padaMu,
Masihkah Kau sudi membacanya seperti dulu?
Suatu nota dari seorang aku,
Yang hina lagi jahil malah kaku,
Dalam menanggapi erti cinta sejati dariMu.

Allah...

Jika ku tulis, ku karang lalu kirim pada-Mu,
Sudikah Kau membalasnya buat diriku?
Sebuah nota pada seorang aku,
Yang curang tak bererti lagi buntu,
Dalam menanggapi erti kehambaan pada-Mu.

Allah...

Ingin sekali aku memberikan nota cinta untuk-Mu,
Tapi aku malah jadi tidak tahu,
Mahu bermula dari mana,
Mahu mengakhirkan bagaimana.

Allah...

Apakah masih pantas untuk mulutku yang hina ini,
Menyebut nama-Mu Yang Agung itu,

Ahad, 23 Januari 2011

Luahan Rasa Seorang Anak

Ku lihat sahabatku,
Memeluk erat ibunya,
Mencium mesra tangan ayahnya,
Menghidupkan hari dengan doa ibu bapa.
Buat hati itu,
Tiada cinta sejati melainkan cinta dariNya,
Tiada kasih sayang melainkan kasihnya ibu bapa,
Tiada kebahagiaan melainkan bahagianya sebuah keluarga.

Tapi bagiku,
Cinta buat Allah hanya ku punya,
Tiada pelukan manja seorang ibu,
Tiada didikan kasih seorang ayah,
Di dalam kamus hidupku.

Tatkala malam,
Allah dan air mata,
Sedih serta pilu,
Bayangan ibu dan bapa,
Impian kebahagiaan serta kegembiraan,
Yang mengiringi mimpiku.

Sesungguhnya Allah,
Yang mendengar doaku,
Yang melihat tangisku,
Yang mengetahui apa rasaku,
Terima kasih Ya Allah.


artikel iluvislam.com

Sabtu, 22 Januari 2011

Kesembuhan Itu Milik Allah

0
Sesungguhnya kesembuhan itu milik Allah. Kata-kata yang telah dijadikan perangsang bagi memotivasikan diri sendiri dan insan lain yang sedang sakit dalam menghadapi keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Begitulah antara ujian kecil berupa penyakit yang dihidapi oleh kebanyakan insan yang telah dipilih oleh Allah sebagai bukti kasih sayang-Nya, kafarah dosa dari-Nya, dan peningkatan darjat hambaNya.
Sesungguhnya penyakit yang diturunkan oleh Allah ini banyak menguji ketahanan fizikal dan mental, kerana tempoh  tersebut merupakan titik tolak ke arah kesedaran bahawa kematian akan mengejar kita bila-bila masa sama ada bersedia atau tidak.
"Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh." [al-Nisaa' 4:78]
Mengingati saat menziarahi jenazah suami kepada seorang sahabat yang meninggal dunia secara tiba-tiba tahun lepas telah banyak mengubah paradigma tentang kematian itu sendiri. Sama ada kita bersedia atau tidak, bertaubat atau belum bertaubat, ajal itu pasti akan datang, cuma waktu dan ketikanya sahaja tidak diketahui. Cuma persoalannya, adakah kita telah bersedia dengan bekalan-bekalan yang disediakan? Adakah cukup bekalan yang disediakan? Bagaimanakah keadaan kita semasa dalam alam kubur? Bernasib baik atau sebaliknya?
Hal ini sedikit sebanyak telah menghantui diri sendiri sehingga telah mewujudkan suatu ketakutan yang luar biasa dalam diri. Hal ini ditambah pula dengan penyakit yang dialami yang masih tidak sembuh-sembuh, telah meningkatkan lagi tahap ketakutan dan pada masa yang sama telah mewujudkan satu situasi yang tegang dalam emosi, fikiran serta memberi tekanan kepada diri sendiri.
Namun begitu, ketahanan mental dan fizikal berteraskan ayat-ayat Allah telah berjaya mengatasi masalah tekanan tersebut sehingga dapat kembali mewujudkan satu senario yang aman dan tenang hingga kembali semula kepada keadaan asal. Mengingati mati dapat melembutkan hati, tetapi apabila mengingati kematian itu secara negatif, hal ini akan dapat memberikan kesan negatif kepada diri sendiri.
Apabila kita bergantung sepenuhnya kepada Allah, menyerahkan segala-segalanya kepada Dia, berdoa bersungguh-sungguhnya kepada-Nya, Sesungguhnya Dia yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, akan mengabulkan dan memperkenankan doa kita. Berusaha, berdoa,berserah, bertawakal itulah tanda pergantungan seorang hamba kepada Tuhannya.
"Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." [Al-Baqarah, 2:153]
Segala masalah penyakit, rujuklah kepada Allah. Daripada-Nya datang segala kebaikan, dan kejahatan juga tidak berlaku dengan izin Allah. Kita perlu berikhtiar, berusaha dan doa-doa kita yang dimakbulkan dan ada juga yang Allah tangguhkan tetapi semuanya perlu dilakukan dengan hati yang ikhlas.
Kuasa penyembuhan semuanya dari Allah. Kita sebagai hamba-Nya perlu redha dengan apa yang ditetapkan kerana setiap apa yang diturunkan kepada kita adalah ujian, sama ada kita dapat redha menerima atau tidak, semuanya untuk meningkatkan darjat kita di samping membersihkan dosa-dosa yang dilakukan.
Tidakkah semua ini adalah rezeki dari Allah, dimana Dia sering memberi perhatian kepada kita, tidakkah ini akan membuatkan kita sentiasa ingat pada-Nya? Anggaplah suatu penyakit itu sesuatu yang positif kerana jika kita redha dengan suatu ujian, Allah akan melipat gandakan pahala kita.Semoga anda semua cepat sembuh begitu juga diriku ini.
Adalah diharapkan artikel ini dapat membawa manfaat kepada semua dan marilah kita saling ingat-mengingati antara satu sama lain. Kelalaian dan kelekaan terhadap duniawi pasti mewujudkan satu jurang yang besar dalam diri kita sendiri dengan Allah.Semoga artikel ini akan menjadi saksi bagi diriku di akhirat kelak sebagai salah satu medium untuk berdakwah kepada pembaca semua.
Redhalah dengan ujian yang kecil ini kerana ujian itu adalah hadiah dan cinta dari Allah. Bersabarlah dengan penyakit yang menimpa ini dan yakin akan sembuh kerana sesungguhnya kesembuhan itu milik-Nya, tiada apa yang kita cari melainkan dalam kembara hidup ini selain memburu cinta dan rindu-Nya.
Ungkapan syukur yang tidak terhingga kepada Allah kerana penyakit yang ditimpakan kepada diriku tidaklah sehebat penyakit kritikal yang dihidapi oleh insan lain, walaupun kecil, penyakit ini tetap memberi kesan yang kuat terhadap sistem ketahanan fizikal disamping memberi tekanan yang hebat terhadap mentalku. Aku bersyukur aku masih diberi kesempatan oleh Allah untuk menghirup udaranya yang segar ini. Berusaha, berdoa dan bertawakal itulah kekuatan sebenarnya dalam penyembuhan penyakit ini. Yakin dan positiflah dengan ujian penyakit yang diturunkan kepada kita.
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." [Al-Ankabut, 29:2-3]
Akhir kata, jadikan ayat-ayat Allah sebagai peransang dalam meningkatkan motivasi dalaman kita dalam membentuk keperibadian soleh dan solehah.
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." [Al-Imran, 3:139]
Sesungguhnya Dialah yang mencipta perasaan cinta dan rindu itu. Semoga Dia yang sangat kita cintai dan kita rindui akan tetap terpahat kukuh dalam jiwa dan sanubari kita. Wallahua'lam.

Cerita Arnab dan Kura-Kura

0
Berikut ialah pelajaran yang telah saya perolehi semasa sessi Dailog Krew ILuvIslam.com tempohari. Moga semua mendapat menafaat dari pekongsian ini ...

Dalam usaha untuk berubah, ubah dahulu cara pandang kita terhadap sesuatu. Kerana cara pandang amat mempengaruhi tindakan kita dan memberi kesan kepada bagaimana orang lain respon kepada kita. (Perlaksanaan Hukum Getaran & Tarikan)


Laksanakan eksprimen dengan diri sendiri semenjak dari usia muda lagi agar kita belajar dari pengalaman eksperimen itu dan bukan untuk mencari salah hasil daripada eksperimen itu tadi. Salah satu cara pandang yang amat penting.
Apa makna Teknologi? – "Technology is a process by which human modify nature to meet their needs and wants". Fikirkan ...

Kita mahu agar pelanggan kita boleh Melihat-Merasai-Mengalami (See-Feel-Experience) perkhidmatan/produk organisasi kita. Inilah sebenarnya yang dimaksudkan sebagai jenama (brand) perkhidmatan/produk organisasi kita. Penjenamaan (rebranding) bermaksud segala usaha untuk menaiktaraf jenama perkhidmatan/produk kita.
Dalam mempromosi sebarang perkhidmatan/produk kita, beri perhatian terhadap 3 perkara ini; semua manusia takut rugi, semua manusia mahu untung dan semua manusia mahu selamat. Jika promosi anda menjawab 3 perkara ini, pasti perkhidmatan/produk anda akan mendapat sambutan!
Kadangkala, dalam keghairahan kita untuk menjadi praktikal dalam melaksana segala usaha, kita lupa memberi perhatian kepada 'nilai' kehidupan seperti integiriti, prihatin dan lain-lain lagi. Semak usaha kita samada kita terjerumus ke dalam fenomena ini!
Bila bercakap mengenai 'circle of influence' dan 'circle of concern', penting sangat kita melaksanakan CHECK dalam kitaran PLAN-DO-CHECK-ACTION bagi sebarang inisiatif kita kerana kegagalan melaksanakan CHECK akan membuatkan orang hanya membicarakan perkara-perkara yang berada diluar bidang kuasa mereka sahaja. ('circle of concern')
Saya suka dengan satu kenyataan yang tertulis pada baju salah seorang peserta dialog ini yang berbunyi, 'Leaders define Reality'. Memang benar, dengan kuasa yang ada pada para pemimpin, mereka sepatutnya menggunakan kuasa di dalam tangan mereka untuk mempengaruhi mereka yang dipimpin untuk mencapai hasil yang diingini.

Cerita Kura-Kura dan Arnab Part 2. Selepas kura-kura dikalahkan dalam pertandingan cerita Kura-Kura dan Arnab Part 1, arnab telah meminta kura-kura untuk bertanding sekali lagi dan kura-kura menyetujuinya. Dalam pertandingan kali kedua ini, arnab berjaya mengalahkan kura-kura setelah arnab berlumba secara 'consistence & fast'. Pelajaran dari cerita Part 2 ini ialah pada ketika ini, 'consistence & fast' adalah lebih baik dari 'slow and steady'.
Dalam Cerita Kura-Kura dan Arnab Part 3 pula, selepas kura-kura dikalahkan dalam cerita Part 2, kura-kura tidak berpuas hati dan lantas meminta arnab untuk mengadakan perlumbaan sekali lagi. Namun kali ini, kura-kura telah meminta 'route' perlumbaan itu ditentukan oleh dirinya. Tanpa usul periksa, arnab menyetujui kehendak kura-kura itu. Perlumbaan dimulakan dan arnab terus meninggalkan kura-kura jauh dibelakang. Bila hampir ke garis penamat, arnab tersedar bahawa beliau mesti berenang menyeberangi sebatang sungai. Puas arnab berusaha untuk menyeberanginya namun dia tetap gagal. Tak lama kemudian, kura-kura sampai lalu menyeberangi sungai dengan mudah dan memenangi perlumbaan tersebut. Pelajaran dari cerita part 3 ini ialah kita mesti gunakan segala kelebihan dan kekuatan yang ada di tangan kita untuk mengharungi cabaran hidup.

Pelajaran dari iklim empat musim. Pertama, setiap kali datang musim baru, manusia yang hidup di iklim empat musim ini mesti menyesuaikan diri dengan perubahan musim itu agar terus selamat dalam hidup ini. Kedua, secara langsung maupun tak langsung, iklim ini menyediakan satu bentuk tekanan agar manusia itu tidak mudah leka dalam hidup ini. Ketiga, iklim empat musim juga memerlukan manusia sentiasa bersedia menghadapi perubahan musim ini. Cerita mengenai iklim empat musim ini sebenarnya merupakan satu perumpamaan bagaimana menghadapi perubahan dalam hidup ini.
Kehidupan ini punya nyawa! Adakah anda ingin mengambil nyawa anda dengan mempersiakan hidup anda?

Sesuai dengan maksud satu Hadis Nabi, orang yang bertaqwa kepada Tuhan adalah mereka yang begitu berhati-hati dalam hidup ini.umpama mereka yang berjalan di atas duri-duri. Agar anda tidak terpijak 'duri kehidupan' ini, apa kata anda labur dalam PPB3K. Hidup anda akan menjadi Sejahtera-Bahagia-Kaya!

Jangan Berputus Asa

"Banyaknya masalah"
"Ada tak orang yang hidup tiada masalah?"
Satu demi satu persoalan mengetuk gegendang telinga saya, jika persoalan-persoalan itu mampu memberi kesan kepada gegendang telinga, pastinya gegendang telinga saya sudah berlubang sekarang! :)
Adakah manusia yang tidak punya masalah?
Bertanya persoalan yang seperti itu, seolah-olah kita bertanya:  Adakah manusia hidup yang tidak bernafas?
Benar. Masalah sudah amat sinonim dengan diri seorang insan kerdil lagi hina bergelar manusia. Sedangkan Nabi dan para sahabat juga dicubit sayang oleh Allah, inikan pula kita manusia biasa...
Persoalannya bukan adakah manusia yang tidak ada masalah tapi lebih kepada bagaimana kita menghadapi permasalahan yang ada.
Jika kita cuba lari dari masalah percayalah masalah itu tidak akan pergi.
Berhadapanlah dengannya.
"Sebenarnya... Hidup bila tidak ada masalah jadi mendatar, jadi tidak ada kenangan yang hendak dikenang.. Jadi hambar." Sahabat yang saya kasihi melontarkan nasihat.
"Tapi kan bila ada masalah jadi susah hati, jadi sedih..." Saya menyambung.
"Memanglah, mana ada orang ada masalah suka hati je..."
Saya ketawa. Benar, masalah itu menjadikan hati menjadi murung tapi di sebalik kemurungan itu akan terselit pula kebahagiaan.
Apabila masalah itu telah selesai, percayalah kita pasti mampu tersenyum malah tertawa sewaktu mengenangkannya.
Maka,jangan sesekati berkata: "Oh Allah! Aku ada masalah yang besar!" Tapi berkatalah:
"Oh Masalah,  Aku ada Allah yang Maha Besar!"
Allah Pasti Akan Membantu
"Macam mana ni..." Matanya berair, berserta esakan yang perlahan. Hujung tudungnya diambil sedikit buat mengesat air mata yang kian mengalir. Saya gusar. Melihatnya mengalirkan air mata membuat saya tidak keruan.
"Sabar..Sabar.."
Sergahan ustaz tentang hafazan kami membuatkan hati sahabat-sahabat sekelas menjadi kecut. Ah, takut ujian yang diberi tak dapat dijawab dengan baik, takut hafazan tersekat di tengah-tengah.
Memandang sahabat yang sedang menangis itu, entah kenapa secara tiba-tiba saya berasa sedikit tenang, seolah-olah terdengar-dengar janji Allah ;
"Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa," (Al-Hajj :22)
"Ok, cepat cepat!" Ustaz memanggil.
Sahabat saya nan satu itu ke hadapan, bersedia dengan sebarang kemungkinan.
Beberapa minit berlalu....
Surah An-Naba' dan An-Naziat berjaya dilepasi.
Berjaya pula dia mendapat 10/10.
Oh Allah, betapa Engkau tidak pernah mengecewakan hambaMu yang berusaha!
Jangan berputus asa
"Saya rasa masalah saya ni dah tak ada jalan penyelesaian dah. Buntu."
Ingatkah kita pada firmanNya ;
"jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir." (Yusuf : 87)
Jangan sesekali berputus asa. Masakan Allah menimpakan ujian dengan sia-sia, masakan Allah sengaja membuat kita sakit dan bersedih.
Sedangkan setiap penyakit itu ada ubatnya melainkan mati, masakan masalah yang kita hadapi langsung tidak punya jalan penyelesaian.
"Saya dah puas cuba macam-macam, tapi...tapi..begini juga."
Nah, lihat kembali dalam diri.. Segala keputusan yang diambil, adakah dikembalikan kepada Allah. Maksud saya, adakah kita redha, adakah segala keputusan dan tindakan yang kita ambil kita bertawakal kepada Allah atau kita merasa yakin dengan diri kita sendiri?
Hakikatnya...Allah timpakan ujian agar kita memuhasabah diri. Allah beri sakit untuk kita menghapus dosa, Allah beri kesusahan agar kita kembali padaNya.
Jika kita menyombong diri...termasuklah kita dalam kalangan orang yang rugi.
Jika kita tidak kembali pada Allah... Terbengkalailah masalah kita dengan seribu persoalan.
Kembalilah... Allah menantimu.
Berusaha dan kemudian serahkan urusanmu pada Allah.
Sungguh, Dia lebih Mengetahui!
Bangunlah, Bangkitlah, Berdirilah..Walau kamu terasa payah, walau kamu terasa seksa.. Kerana hakikatnya Allah akan membantumu. Pasti! Jangan diragui.
Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya. (Al-Imran : 159)

Jumaat, 8 Oktober 2010

Amalan apakah yang dianjurkan ketika berwudhu', dan apakah doa yang mesti diucapkan setelahnya?

Alhamdulillah, tatacara wudhu' menurut syariat adalah sebagai berikut: Menuangkan air dari bejana (gayung) untuk mencuci telapak tangan sebanyak tiga kali. Kemudian menyiduk air dengan tangan kanan lalu berkumur-kumur dan memasukkan air ke hidung dan mengeluarkannya sebanyak tiga kali. Kemudian membasuh wajah sebanyak tiga kali. Kemudian mencuci kedua tangan sampai siku sebanyak tiga kali. Kemudian mengusap kepala dan kedua telinga sekali usap. Kemudian mencuci kaki sampai mata kaki sebanyak tiga kali. Ia boleh membasuhnya sebanyak dua kali atau mencukupkan sekali basuhan saja. Setelah itu hendaknya ia berdoa:
"Asyhadu allaa ilaaha illallah wahdahu laa syarikalahu wa asyhadu anna Muhammadan 'abduhu wa rasuluhu, Allahummaj 'alni minat tawwabiin waj'alni minal mutathahhiriin."
Artinya: Saya bersaksi bahwa tiada ilaah yang berhak disembah dengan benar selain Allah semata tiada sekutu bagi-Nya. Dan saya bersaksi bahwa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya. Yaa Allah jadikanlah hamba termasuk orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang mensucikan diri."
Fatawa Lajnah Daimah V/231.
Adapun sebelumnya hendaklah ia mengucapkan 'bismillah' berdasarkan hadits yang berbunyi:
"Tidak sempurna wudhu' yang tidak dimulai dengan membaca asma Allah (bismillah)."
H.R At-Tirmidzi No:56.